Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: "Saya melaungkan takbir sebanyak tiga kali ketika bergelut dengan beruang itu sebelum ia beredar ke dalam semak," kata penyelia pembalakan, Mohd Syukri Zakaria.

Pada kejadian jam 8 pagi, 1 Februari lalu, Mohd Syukri, 39, cedera dan menerima jahitan di muka selepas diserang seekor beruang matahari di Kampung Tok Dor, Hulu Terengganu.

Mohd Syukri berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama seorang rakannya sedang melakukan kerja membaiki paip berhampiran rumah kongsi balak di kawasan berkenaan sebelum terdengar bunyi mencurigakan.

"Saya cuba mencari arah bunyi itu sebelum seekor beruang matahari tiba-tiba keluar dari kawasan semak dan meluru ke arah kami.

"Kami segera melarikan diri namun saya terjatuh sebelum beruang itu menerkam dan menggigit bahu saya.

"Dalam keadaan panik, saya melaungkan takbir sebanyak tiga kali sebelum beruang itu masuk ke semak semula," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Pelong di sini.

Mohd Syukri berkata, kejadian itu menyebabkan dia yang cedera di muka, hidung dan bahu dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, dia dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada hari yang sama dan menerima rawatan selama lima hari.

MOHD Syukri Zakaria,39 cedera termasuk menerima jahitan pada bahagian muka selepas diserang seekor beruang matahari ketika ditemui dirumahnya, Kampung Pelong. FOTO Ghazali Kori
MOHD Syukri Zakaria,39 cedera termasuk menerima jahitan pada bahagian muka selepas diserang seekor beruang matahari ketika ditemui dirumahnya, Kampung Pelong. FOTO Ghazali Kori

"Ini pengalaman pertama saya diserang beruang walaupun sebelum ini pernah terserempak dengannya berhampiran rumah kongsi.

"Walaupun sudah beberapa hari berlalu, masih terbayang lagi serangannya. Syukur saya tidak mengalami kecederaan parah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 2 Februari lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada kehadiran seekor anjing yang berada di rumah kongsi yang terletak di kawasan pembalakan berhampiran.

"Beruang itu dikatakan terlebih dahulu ingin menyerang anjing itu menyebabkan anjing terbabit lari.

"Ketika mengejar anjing itu, beruang berkenaan terserempak dengan mangsa yang sedang membaiki paip dan terus menyerangnya.

"Kejadian ini berlaku di kawasan hutan dan kita akan memantau kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Kean Seong turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan provokasi sekiranya terserempak dengan hidupan liar.

Beliau berkata, masyarakat juga dinasihati untuk segera beredar dari kawasan berkenaan dan memaklumkan segera kejadian kepada pejabat Perhilitan yang terdekat bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 11:47 AM