ANTARA mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Kemaman. FOTO Ihsan APM Terengganu
ANTARA mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Kemaman. FOTO Ihsan APM Terengganu
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 47 orang yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kemaman.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, setakat jam 4 petang tadi, 14 keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor dan Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih.

PPS SK Lembah Jabor yang dibuka jam 8 malam menempatkan 25 mangsa daripada lapan keluarga.

Satu lagi PPS Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih turut diaktifkan pada jam 11.30 malam bagi menempatkan 22 mangsa daripada enam keluarga.

Pagi tadi, seramai 28 mangsa membabitkan sembilan keluarga dipindahkan ke dua PPS sama sekali gus Terengganu negeri terkini dilanda banjir susulan cuaca tidak menentu ketika.

Dalam pada itu, paras air di kebanyakan sungai di Terengganu masih menunjukkan trend peningkatan.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat jam 3 petang, dua sungai masing-masing merekodkan melepasi paras amaran manakala satu lagi direkodkan melepasi paras waspada.

Dua sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras amaran adalah Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun dengan bacaan 11.85 meter (m) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman bacaan 18.30 m.

Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu pula melepasi paras waspada dengan bacaan 18.27 m.

Terdahulu, banjir luar jangka yang melanda Terengganu bermula 18 Disember tahun lalu menyaksikan lebih 40,000 mangsa membabitkan kesemua lapan daerah ini terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 5:10 PM