KEADAAN di pusat penempatan sementara (PPS) Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kuantan. FOTO Asrol Awang
KEADAAN di pusat penempatan sementara (PPS) Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kuantan. FOTO Asrol Awang
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Terengganu menjadi negeri terbaru dilanda banjir apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kemaman.

Setakat jam 8 pagi ini, seramai 28 mangsa daripada sembilan keluarga dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor dan Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, PPS SK Lembah Jabor yang dibuka jam 12 malam tadi menempatkan 25 mangsa daripada lapan keluarga.

Manakala PPS Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih turut diaktifkan bagi menempatkan tiga mangsa daripada satu keluarga.

Ketika ini, keadaan cuaca mendung di kebanyakan kawasan di negeri ini.

Sementara itu, paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu menunjukkan trend peningkatan susulan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, sebatang sungai masing-masing direkodkan melepasi paras bahaya dan amaran manakala dua lagi direkodkan melepasi paras waspada.

Setakat jam 8 pagi, Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.80 meter (m) berbanding paras normal 15 m.

Di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping pula direkodkan melepasi paras amaran dengan bacaan 19.21 m.

Dua lagi sungai yang mencatatkan bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Kemaman masing-masing dengan bacaan 11.35 m dan 12.92 m.

Terdahulu, banjir luar jangka yang melanda Terengganu bermula 18 Disember tahun lalu menyaksikan lebih 40,000 mangsa membabitkan kesemua lapan daerah ini terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 8:58 AM