KHAIRUL Fahmy bersama bapanya, Md Yasin Arsad  menawarkan Menu Durian Rahmah kepada pelanggan di gerai. FOTO ihsan Khairul Fahmy Md Yasin
KHAIRUL Fahmy bersama bapanya, Md Yasin Arsad menawarkan Menu Durian Rahmah kepada pelanggan di gerai. FOTO ihsan Khairul Fahmy Md Yasin
Redzuan Muharam


Shah Alam: "Ayah sentiasa berpesan supaya jangan jual mahal kerana bukan semua orang mampu beli. Jadi saya cuba menggembirakan ayah dan pelanggan supaya dapat menikmati durian," kata Khairul Fahmy Md Yasin.

Khairul Fahmy, 45, adalah peniaga dan pengusaha gerai Durians Atok yang menyokong inisiatif Menu Rahmah dengan menjual sebekas durian pada berharga RM4.99.

"Saya mula menjual durian sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama, tiga tahun lalu.

"Alhamdulillah, penduduk setempat sentiasa menyokong kerana kami sentiasa menjual durian pada harga mampu beli.

"Terbaru saya perkenalkan pula Menu Durian Rahmah dalam usaha menyahut inisiatif serta seruan kerajaan dan tak sangka sambutannya cukup memberangsangkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, sebanyak 50 bekas terjual dalam masa 10 minit pada hari pertama dan habis pada jam 4.30 petang.

Dia berkata, bermacam jenis durian dijual di gerainya yang terletak di Jalan Kebun Kampung Batu 7, di sini.

Bagi Menu Durian Rahmah, dia meletakkan isi durian kampung dan durian kahwin untuk pelanggan.

"Jualan durian Menu Rahmah bermula jam 2.30 petang selepas bekalan buah sampai.

"Bagaimanapun, setiap pelanggan dihadkan untuk membeli dua bekas durian saja.

"Ia bagi memastikan pelanggan yang lain turut dapat merasa dan berpeluang untuk membeli durian dijual.

"InsyaAllah, inisiatif itu akan diteruskan sehingga habis musim durian pada bulan depan dan disambung semula musim besar pada Jun nanti," katanya yang turut menjual cendol durian serendah RM4 di gerainya.

Berkongsi perancangan lain, bapa enam anak itu berkata, dia kini dalam usaha mencari tapak niaga yang lebih besar untuk keselesaan pelanggan meletak kenderaan.

"Jika ada rezeki, saya mahu membuka satu lagi cawangan Durians Atok di sekitar bandar ini.

"Ia bagi membolehkan lebih ramai golongan yang kurang berkemampuan dapat membeli buah berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 4:21 PM