Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Keputusan untuk menjual durian goreng yang pada awalnya bagi mengelak lambakan raja buah itu akhirnya mendatangkan pulangan lumayan kepada peniaga durian, Suhaimi Azimi, 39.

Menu kudapan petang unik itu mula menjadi perhatian umum dan bualan ramai yang tidak mahu ketinggalan merasai sendiri keenakan durian goreng berkenaan.

Gerai yang beroperasi dengan nama Kedai buah-buahan Cik Bunga di Jalan Besar Bercham bersebelahan Taman Sri Kurau, di sini, mula tular kerana keistimewaan isi durian yang terus digoreng bersama bijinya.

Suhaimi berkata, idea itu tercetus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan hampir 80 peratus buah duriannya tidak terjual.

"Dalam tempoh PKP ini lambakan buah durian terlampau banyak, kalau dahulu sekurang-kurangnya 500 kilogram (kg) buah durian terjual setiap hari tetapi sekarang hendak jual 100 kg pun susah.

"Saya tidak dapat lagi menghantarnya ke bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Selangor, malah harga juga jatuh teruk sehingga RM3 sekilogram berbanding RM20 sebelum ini.

"Jadi, saya bersama rakan terfikir untuk mencuba sedikit kelainan dengan menggoreng isi durian terus bersama bijinya, syukur cubaan kami menjadi dan mendapat sambutan. Sekurang-kurangnya sebanyak 100 kilogram durian yang digoreng itu laku terjual dalam sehari," katanya.

IPOH 30 JULAI 2021. Peniaga, Suhaimi Azimi, 39, menunjukkan Durian Goreng yang dijual di gerainya di Taman Kurau, Bercham.  Suhaimi Azimi mengambil inisiatif  memulakan jualan Durian Goreng yang sememangnya unik dan jarang ditemui di Ipoh FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
IPOH 30 JULAI 2021. Peniaga, Suhaimi Azimi, 39, menunjukkan Durian Goreng yang dijual di gerainya di Taman Kurau, Bercham. Suhaimi Azimi mengambil inisiatif memulakan jualan Durian Goreng yang sememangnya unik dan jarang ditemui di Ipoh FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Menurutnya, banyak usaha sudah dilakukan untuk mempelbagaikan menu yang berasaskan durian untuk memikat hati sesuai dengan selera atau tekak pelanggan.

"Sebelum ini saya ada cuba membuat pelbagai variasi seperti cucur durian, durian crepe, kek 'topping' isi durian, dorayaki dan sebagainya demi untuk mengatasi lambakan buah durian itu," katanya.

Katanya, dia mendapat bekalan durian dari Kuala Kangsar dan Batu Kurau serta menggunakan isi durian kampung bagi menghasilkan durian goreng untuk dijual kepada pelanggan.

"Saya menggunakan bancuhan tepung resipi yang diwarisi daripada ibu, sepertimana cempedak goreng saya mencelupkannya ke dalam bancuhan dan kemudian digoreng sehingga kuning keemasan.

"Bagi saiz besar saya menjualnya sebanyak RM1 seketul, manakala bagi saiz kecil pula RM1 untuk dua ketul," katanya.

Durian kampung yang dicampurkan dengan resepi tersendiri sebelum digoreng di gerai Taman Kurau, Bercham.  Peniaga, Suhaimi Azimi mengambil inisiatif  memulakan jualan Durian Goreng yang sememangnya unik dan jarang ditemui di Ipoh. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Durian kampung yang dicampurkan dengan resepi tersendiri sebelum digoreng di gerai Taman Kurau, Bercham. Peniaga, Suhaimi Azimi mengambil inisiatif memulakan jualan Durian Goreng yang sememangnya unik dan jarang ditemui di Ipoh. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Menurutnya lagi, gerainya beroperasi bermula jam 12 tengahari sehingga jam 7 malam pada hari Selasa hingga Ahad.

"Setiap hari pada sebelah pagi kami akan mula pergi mendapatkan bekalan daripada peraih, ini bagi memastikan pelanggan benar-benar dapat merasai nikmat isi durian goreng yang sedap dan segar," katanya.

Katanya, selain itu, bagi merancakkan hasil jualan menu itu turut dipromosikan di dalam pelbagai medium media sosial.

"Selain daripada menu istimewa durian goreng, dalam masa yang sama kami turut menjual cempedak goreng, durian crepe dan pelbagai buah-buahan tempatan di gerai itu agar pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 5:12 PM