MUHAMAD Al Amin menunjukkan durian yang dijual. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
MUHAMAD Al Amin menunjukkan durian yang dijual. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
Noorazura Abdul Rahman


"DISEBABKAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), durian yang dijual sangat laris, boleh habis sehingga lebih satu tan sehari," kata peniaga durian, Muhamad Al Amin Ghazali, 32.

Bekas kontraktor itu berkata, ia adalah jualan tertinggi pernah diraih sejak berniaga 10 tahun lalu.

Katanya, setiap hari sepanjang PKP, pelanggan tidak putus ke gerainya bermula 10 pagi hingga 6.30 petang.

"Saya mula berniaga pada 13 April lalu selepas dimaklumkan Thailand mula mengeksport durian, antara durian yang saya jual adalah D15 atau dikenali sebagai ceni, telur buaya dan D99 atau kancing baju.

"Mulanya saya tidak berani mengimport durian dalam kuantiti yang banyak kerana pergerakan orang ramai terbatas, tetapi lain pula jadinya apabila ramai yang singgah membeli," katanya yang berniaga di Jalan Naka, Pokok Sena, Alor Setar.

Bapa kepada dua orang anak ini berkata, sebagai peniaga dia tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata, sebaliknya menjual pada harga yang mampu dimiliki pelanggan.

Katanya setiap kilogram (kg) raja buah itu dijual antara RM18 hingga RM30 bergantung kepada jenis durian.

"Jika ada pelanggan yang mengadu isi durian buruk, saya akan ganti dengan yang baru.

"Tak apa kita untung dan rugi sikit, yang penting pelanggan puas hati dan saya sendiri rasa tenang dengan rezeki yang diperoleh," katanya.

Muhamad Al Amin berkata, dengan jualan yang semakin meningkat dia juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di Pokok Sena apabila enam pemuda di kampung itu bekerja dengannya.

Selain itu, dia turut menjual durian dalam talian, terutama pelanggan yang tinggal berdekatan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 10:57 AM