GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Tawau: Sebanyak 12 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Jawa, Jalan Guru di sini, tengah hari tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Tawau Sukur Hatta berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.38 tengah hari sebelum 40 anggota serta pegawai bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik sampai, kita dapati kebakaran membabitkan struktur rumah papan dengan api yang merebak pantas berikutan cuaca panas terik selain tiupan angin.

"Kebakaran berjaya dikawal pada 1.56 tengah hari dan operasi pemadaman turut dibantu pasukan bomba sukarela Kampung Titingan termasuk penduduk kampung," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, mangsa, Rudi Salam, 33, berkata, beliau dan keluarga berjaya menyelamatkan diri selepas mendengar jeritan jiran mengenai api marak daripada salah sebuah rumah berhampiran.

"Waktu itu saya baru balik kerja, tiba-tiba mendengar jiran menjerit 'api', saya segera arah keluarga saya keluar rumah bagi menyelamatkan diri," katanya yang menetap di rumah itu bersama anak-anaknya selama lebih 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 5:04 PM