MANGSA yang dihanyutkan arus banjir berjaya diselamatkan pasukan polis dan penduduk kampung. FOTO ihsan Polis
MANGSA yang dihanyutkan arus banjir berjaya diselamatkan pasukan polis dan penduduk kampung. FOTO ihsan Polis
Juwan Riduan


Kota Marudu: Polis Kota Marudu menyelamatkan lelaki yang terperangkap tiga hari di atas batu di Pulau Batu Laya-Laya, perairan laut Kampung Teringai Laut, di sini, akibat dihanyutkan banjir, hari ini.

Jaikon Majumban, 52, dari Kampung Jambutan Laya-Laya, Kota Marudu ditemui orang awam sebelum Balai Polis Kota Marudu dihubungi untuk bantuan menyelamat pada 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, operasi menyelamatkan diatur gerak menggunakan bot penduduk kampung kerana bot penyelamat tidak dapat merapat ke pulau berkenaan.

"Mangsa kemudian diberi makanan dan minuman sebelum dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Mangsa mendapat rawatan sebagai pesakit luar," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zairolnizal berkata, berdasarkan keterangan mangsa, pada 6.45 pagi, 25 Januari lalu, mangsa keluar dari rumah untuk membersih dan membuang air dalam perahu miliknya yang ditambat di tepi sungai Kampung Jambutan Laya-Laya.

"Tiba-tiba berlaku banjir dan arus kuat menghanyutkan mangsa serta perahu lebih kurang dua kilometer sehingga ke perairan laut, Kampung Teringai Laut.

"Mangsa kemudian terjun ke laut dan berenang ke Pulau Batu Laya-Laya untuk berlindung. Mangsa berada di pulau itu selama tiga hari dua malam," katanya.

Menurutnya, jarak Pulau Batu Laya-Laya dengan daratan Kampung Teringai Laut adalah kira-kira 700 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 11:04 PM