Daging kerbau curi yang dipotong dan disimpan dalam kereta. FOTO Ihsan Pembaca
Daging kerbau curi yang dipotong dan disimpan dalam kereta. FOTO Ihsan Pembaca
Junaidi Ladjana


TNDAKAN sebuah kereta memecut laju ketika dihampiri kenderaan polis membongkar kegiatan curi kerbau oleh dua lelaki dalam kejadian di kawasan Kampung Laya-Laya, Tuaran tengah malam semalam.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, anggota unit peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran sedang menjalankan rondaan dan terserempak dengan kereta Proton Wira itu dalam keadaan mencurigakan.

Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, kereta itu memecut laju menyebabkan peronda polis mengejar sebelum berjaya menahan kereta dinaiki dua lelaki berusia 18 dan 28 tahun.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, ketika pemeriksaan terdapat kesan darah pada badan suspek sebelum kedua-duanya ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan menemui daging kerbau yang sudah dipotong di dalam kereta itu.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke balai polis dan siasatan mendapati kedua-dua suspek terbabit dalam kegiatan curi kerbau dan lembu,” katanya ketika dihubungi.

Dzulbaharin berkata, suspek terbabit dipercayai aktif melakukan kegiatan curi kerbau dan lembu di daerah Tuaran dan Kota Belud.

“Kegiatan mereka ini aktif pada waktu malam dan subuh. Hasil yang dicuri ini dipercayai dijual di sekitar pasar Manggatal.

“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, ia dapat membantu menyelesaikan kes curi kerbau dan lembu di Tuaran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 10:17 AM