SULTAN Ibrahim berkenan berangkat menziarahi mangsa banjir di dua PPS di daerah ini, hari ini. FOTO FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
SULTAN Ibrahim berkenan berangkat menziarahi mangsa banjir di dua PPS di daerah ini, hari ini. FOTO FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Izz Laily Hussein


Kota Tinggi : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat menziarahi mangsa banjir di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah ini, hari ini.

Meskipun terikat dengan jadual yang padat, baginda tetap menyantuni mereka yang terjejas akibat banjir kali ini.

Baginda berangkat ke dua PPS berkenaan sebaik selesai berkenan menerima mengadap tiga Menteri Persekutuan di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru dengan memandu sendiri, walaupun hujan berterusan sepanjang perjalanan.

Turut berangkat, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Pada lawatan itu, Sultan Ibrahim turut memberikan kata-kata semangat kepada mangsa banjir, serta bertitah menasihatkan rakyat supaya sentiasa berhati-hati berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Terdahulu, baginda turut dipersembahkan mengenai laporan terkini keadaan banjir serta kemudahan asas yang disediakan di PPS oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil.

Selain beramah mesra, Sultan Ibrahim turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) seperti biskut, pensil warna, buku mewarna, ubat gigi, syampu, berus gigi dan tuala.

Di Kota Tinggi, PPS Dewan Muafakat Taman Desaru Utama menempatkan 138 mangsa daripada 35 keluarga dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Penawar pula menempatkan 250 mangsa daripada 64 keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 8:15 PM