SULTAN Ibrahim berkenan melawat mangsa bah di Sekolah Agama Gemerih. FOTO Ahmad Ismail
SULTAN Ibrahim berkenan melawat mangsa bah di Sekolah Agama Gemerih. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar hari ini berkenan mencemar duli berangkat ke pusat pemindahan banjir sementara (PPS) di Sekolah Agama Gemerih.

Ketibaan Sultan Ibrahim diiringi anakanda baginda, Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri dan Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim.

Turut hadir, Pegawai Daerah Segamat Nasri Md Ali dan Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Bahrin Mohd Noh.

Pada kunjungan itu, Sultan Ibrahim turut menyampaikan sumbangan wang saku dan beramah mesra bersama mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan banjir di sekolah terbabit sejak malam semalam.

"Jangan ada mangsa bah yang terlepas pandang tidak diberikan pelbagai bantuan yang sepatutnya," titahnya.

Baginda turut meninjau kemudahan perubatan, penyediaan makanan, kebajikan, Orang Kurang Upaya (OKU) keperluan anak mangsa bah juga kepada mangsa banjir terutamanya warga emas di sekolah yang sama.

PPS di Sekolah Agama itu mula beroperasi 10 malam semalam menempatkan 74 mangsa banjir membabitkan 23 keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 4:15 PM