Ahmad Ismail


Segamat: Seorang warga emas mengambil keputusan 'bermalam' di dalam kereta bagi memantau rumahnya daripada dimasuki penceroboh selepas kediamannya di Kampung Tengah di sini, itu ditenggelami banjir sejak kelmarin.

Bekas tentera Sipon Pit, 70, berkata, keluarganya yang lain sudah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kampung itu dilanda banjir, namun dia risau rumahnya dipecah masuk pencuri.

Berikutan itu, dia yang sudah 10 tahun menetap di situ, memilih untuk bermalam di dalam kereta miliknya yang diparkir di jalan raya berdekatan rumahnya, tambahan pula laluan itu tidak dinaiki air.

"Saya memantau kediaman kerana ada beberapa barangan umpamanya mesin rumput dan peralatan pertanian yang disimpan dalam stor di rumah saya.

"Sejak banjir Isnin lalu, sudah dua malam saya bermalam dalam kereta ini sebab takut barang-barang dicuri," katanya ketika ditemui di Kampung Tengah di sini, hari ini.

Sipon berkata, ada ahli keluarga yang memintanya supaya berpindah ke PPS, tetapi dia memutuskan untuk terus berada di situ dan yakin air akan surut dalam masa terdekat.

Katanya, bagi mendapatkan bekalan makanan dan minuman dia akan keluar membeli di kedai, selain ada ahli keluarga hantar makanan.

Sementara Itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, polis sentiasa membuat rondaan di kawasan penempatan mangsa banjir untuk mengelak kes pencerobohan rumah sepanjang musim tengkujuh.

"Langkah terbabit sebagai jaminan kepada penduduk setempat supaya tidak takut untuk meninggalkan kediaman serta harta benda mereka sebaliknya terus ke PPS untuk berlindung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 7:55 PM
SIPON ‘bermalam’ di dalam kereta memantau rumahnya daripada dimasuki penceroboh. FOTO Ahmad Ismail
SIPON ‘bermalam’ di dalam kereta memantau rumahnya daripada dimasuki penceroboh. FOTO Ahmad Ismail