OTHMAN tidur di dalam lori selepas rumahnya dinaiki air dalam tempoh dua bulan berturut-turut ketika tinjauan banjir di Kampung Belimbing Dalam dekat Durian Tunggal, hari ini. FOTO Bernama.
OTHMAN tidur di dalam lori selepas rumahnya dinaiki air dalam tempoh dua bulan berturut-turut ketika tinjauan banjir di Kampung Belimbing Dalam dekat Durian Tunggal, hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Alor Gajah: Seorang warga emas memutuskan untuk tidur di dalam lori bagi menjaga keselamatan harta bendanya daripada dicuri pihak tidak bertanggungjawab, selepas rumahnya di Kampung Belimbing Dalam di sini, ditenggelami banjir sejak Sabtu lalu.

Othman Baba, 83, berkata, dia memang tidak pernah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali kampung itu dilanda banjir, kerana risau rumahnya dipecah masuk pencuri.

Berikutan itu, dia yang sudah 17 tahun menetap di situ, memilih untuk tinggal di dalam lori milik anak lelakinya yang diletakkan di jalan raya yang tidak dinaiki air berdekatan rumahnya.

"Dua anak lelaki saya menjalankan perniagaan sewa khemah. Oleh kerana mereka tiada tempat nak letak barang, mereka simpan dalam stor di rumah saya.

"Sejak banjir pada Sabtu lalu, sudah dua malam saya bersama seorang lagi anak lelaki dan anak perempuan tidur dalam lori ini sebab takut barang-barang dicuri," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Othman berkata, ada penduduk kampung yang memintanya supaya berpindah ke PPS, tetapi dia memutuskan untuk terus berada di situ, sementara menunggu air surut.

Katanya, bagi mendapatkan bekalan makanan dia akan keluar membeli di kedai atau menunggu bantuan makanan yang dihulurkan oleh mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) mahupun sukarelawan.

Menurutnya, sejak Julai tahun lalu, sudah empat kali rumahnya dinaiki air memandangkan ia berada di kawasan rendah dan berdekatan sungai.

"Saya sudah bina pangkin di dalam rumah bagi meletakkan perabot dan barangan elektrik, namun tetap tenggelam kerana paras banjir tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 4:33 PM