Ahmad Ismail

Segamat: "Dia minta saya masak kari ayam dan sempat menjamahnya sebelum pergi ke Mersing," kata Suhaili Mohd Sidek, 45, ibu kepada Hani Suefyan Hanizam, 16, yang ditemukan mati lemas di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi, semalam.

Mayat Hani Suefyan ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terapung kira-kira jam 5.20 petang semalam pada jarak sekitar 100 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas Ahad lalu.

Menurut Suhaili, beberapa jam sebelum Hani Suefyan bertolak ke Kota Tinggi bersama beberapa rakannya, anak sulung daripada tiga beradik itu memintanya memasak kari ayam kegemarannya.

"Saya dan suami (Hanizam Hashim, 47) reda dengan ketentuan ini dan tidak sangka dia 'pulang' dulu menemui Ilahi bersama seorang rakannya.

"Kami akan merinduinya buat selama-lamanya," katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Waris Haji Sawil di Kampung Tasek di Gemerih di sini, pagi tadi.

Sementara itu, adik arwah, Hani Lokman, 15, berkata setiap tiap kali adik-beradik berkumpul di meja makan, arwah abangnya selalu bergurau sambil memuji masakan kari ibu.

"Situasi itulah yang pasti saya rindui selepas ini," katanya sebak.

Media melaporkan kejadian jam 1.26 tengah hari Ahad lalu, Mohamad Imran Mohd Nazir, 17, ditemui lemas di pantai berkenaan manakala Hani Suefyan hilang.

HANI Suefyan selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Waris Haji Sawil di Kampung Tasek di Gemerih. FOTO Ahmad Ismail
HANI Suefyan selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Waris Haji Sawil di Kampung Tasek di Gemerih. FOTO Ahmad Ismail

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 11:32 AM