SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah tong sampah roro di jalan Kampung Datuk Harun.
SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah tong sampah roro di jalan Kampung Datuk Harun.
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh tong sampah roro di jalan Kampung Datuk Harun, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun yang menunggang motosikal Suzuki 110 maut di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin, berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Bukit Rotan ke Assam Jawa.

"Setibanya di lokasi, mangsa disyaki gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh sebuah tong sampah roro yang berada di jalan terbabit.

"Ekoran kemalangan itu, mangsa parah di leher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ambia berkata, keadaan jalan di tempat kejadian adalah jalan lurus satu lorong dan rata berturap selain cuaca yang baik.

Bagaimanapun katanya, sebelah jalan terhalang disebabkan tong sampah roro terbabit.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 10:21 AM