ANTARA tong roro yang berjaya dirampas selepas tertangkapnya enam lelaki dalam kejadian kecurian di Port Dickson dan Seremban. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA tong roro yang berjaya dirampas selepas tertangkapnya enam lelaki dalam kejadian kecurian di Port Dickson dan Seremban. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Polis menahan enam lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan curi lima tong sampah roro di sekitar daerah ini dan Seremban.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 28 hingga 49 tahun itu ditahan pada Rabu dan semalam hasil maklumat serta risikan.

Katanya, tangkapan pertama membabitkan empat lelaki, manakala dua lagi suspek ditahan di Lukut dan bandar ini semalam.

"Kita menerima lima laporan berhubung kecurian tong roro di kawasan Lukut dan Chuah yang membabitkan kerugian hampir RM40,000.

"Susulan laporan itu suspek ditahan dan barangan dirampas antaranya, sebuah lori, kepingan tong roro yang sudah dipotong, lima telefon bimbit dan pita pelekat.

"Selain itu, sebuah tong roro yang dilaporkan hilang di kawasan Perindustrian D'Ambang Kota, Chuah pada 17 Ogos lalu turut dijumpai semula," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, pihaknya percaya lapan kes kecurian tong roro sejak empat bulan lalu berjaya diselesaikan susulan tangkapan berkenaan.

"Empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan penyalahgunaan dadah. Mereka direman untjuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 10:01 PM