Saraya (belakang dua dari kiri) dan pegawai kerajaan negeri Melaka menyusuri Sungai Ramuan Cina ketika meninjau projek Ekopelancongan Paya Lebar di Jeti Pelancong Kampung Paya Lebar, Lubok Cina dekat Masjid Tanah hari ini. Foto HASSAN OMAR
Saraya (belakang dua dari kiri) dan pegawai kerajaan negeri Melaka menyusuri Sungai Ramuan Cina ketika meninjau projek Ekopelancongan Paya Lebar di Jeti Pelancong Kampung Paya Lebar, Lubok Cina dekat Masjid Tanah hari ini. Foto HASSAN OMAR
Hassan Omar

Masjid Tanah: Industri pelancongan negara dijangka menghasilkan perolehan RM120.4 bilion kepada pendapatan negara tahun ini berbanding RM97 bilion yang diramalkan tahun lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Saraya Arbi berkata, daripada keseluruhan jumlah itu, sebanyak RM47.6 bilion diramalkan berpunca kehadiran 15.6 juta pelancong asing.

"Sebanyak RM72.8 blion dijangka diperoleh daripada 182 juta pelancong domestik yang mengunjungi pelbagai destinasi pelancongan menarik di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, jumlah berkenaan jauh mengatasi jangkaan perolehan RM97 bilion hasil daripada industri pelancongan negara pada tahun lalu.

"Sejak kita membuka semula industri pelancongan negara pada April tahun lalu selepas pandemik Covid-19, kita meletakkan sasaran memperoleh RM3 bilion hasil daripada kedatangan pelancong asing sehingga akhir tahun 2022.

"Bagaimanapun, ia meningkat kepada RM9.2 bilion sehingga hujung Disember 2022 dan jika dicampurkan dengan pelancong tempatan, kita menjangka hasil pendapatan negara sebanyak RM97 bilion bagi 2022," katanya selepas majlis penyerahan projek Ekopelancongan Paya Lebar di Jeti Pelancong Kampung Paya Lebar, Lubok Cina di sini, tadi.

Pada majlis itu, MOTAC menyerahkan projek berkenaan yang bernilai RM2.314 juta kepada Kerajaan Melaka melalui Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang berfungsi sebagai agensi pelaksana.

Projek berkenaan dimulakan pada Januari 2022 dan siap sepenuhnya pada 23 Disember lalu, membabitkan pelbagai kemudahan untuk pelancong seperti jeti di Pangkalan Nelayan Kampung Paya Lebar, Tebing Urut dan Sabak Arang di sepanjang Sungai Ramuan Cina dan Sungai Rembau.

Projek berkenaan memberi peluang kepada nelayan sungai menyediakan perkhidmatan membawa pelancong menyusuri sungai yang dipenuhi dengan hutan paya bakau dan hidupan liar seperti buaya, monyet dan ular.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 3:15 PM