TENGKU Mohamad Anuar  (lima kanan) melihat hasil laut yang didaratkan di Pelabuhan LKIM, Chendering ketika lawatan Che Abdullah (dua kanan), Sabtu lalu. FOTO Zaid Salim
TENGKU Mohamad Anuar (lima kanan) melihat hasil laut yang didaratkan di Pelabuhan LKIM, Chendering ketika lawatan Che Abdullah (dua kanan), Sabtu lalu. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


KESUKARAN nelayan bot laut mendaratkan hasil tangkapan di jeti Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, Kuala Terengganu disebabkan mendapan pasir akan selesai apabila kerja mengorek pasir dilakukan tidak lama lagi.

Pengarah LKIM Negeri, Tengku Mohamad Anuar Tengku Mahmud berkata, kerja mendalam kawasan berkenaan akan dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dengan peruntukkan kerajaan pusat sebanyak RM15 juta.

"Dalam lawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Sabtu lalu, beliau berkata, peruntukan itu juga akan digunakan untuk menambak kawasan Pantai Rusila, Marang yang terjejas teruk akibat hakisan.

"Jadi projek ini lebih kepada projek serampang dua mata. Dengan menggunakan satu peruntukan, dua masalah boleh diselesaikan serentak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kerja mendalamkan kawasan pelabuhan itu perlu dilakukan serentak kerana pasir yang dikorek di kawasan berkenaan boleh digunakan untuk projek hakisan di Pantai Rusila yang memerlukan jumlah pasir yang banyak.

Menurutnya, masalah mendapan pasir di kawasan pelabuhan itu berlaku sejak tujuh tahun lalu.

"Sejak itu, kuantiti pendaratan ikan di jeti ini semakin menurun kerana bot laut dalam yang sepatutnya mendaratkan hasil tangkapan di pelabuhan ini beralih arah ke Pelabuhan Tok Bali dan Kuantan untuk mendaratkan hasil tangkapan mereka.

" Jadi saya berharap projek hakisan di Pantai Rusila dapat disegerakan bagi membolehkan kerja mendalamkan kawasan pelabuhan ini dapat dilakukan bagi meningkatkan semula jumlah ikan yang mendarat di pelabuhan ini," katanya.

Tengku Mohamad Anuar berkata, keadaan bertambah teruk apabila pemecah ombak yang dibina di kawasan pelabuhan bocor dan mendap menyebabkan lebih banyak pasir masuk ke kawasan pelabuhan.

Menurutnya, pelabuhan itu pernah merekodkan pendaratan ikan sebanyak 13,682 metrik tan pada 2013, namun jumlah itu semakin menurun dan tahun lalu kita menerima pendaratan ikan hanya 1,334 metrik tan saja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 12:35 PM