IZHAM Hashim (tengah) menyampaikan subsidi minyak petrol kepada salah seorang penerima dalam Majlis Penyampaian Bantuan Nelayan Pakej Kita Selangor 2.0. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
IZHAM Hashim (tengah) menyampaikan subsidi minyak petrol kepada salah seorang penerima dalam Majlis Penyampaian Bantuan Nelayan Pakej Kita Selangor 2.0. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Jumlah pendaratan pelbagai hasil laut di Selangor mencatatkan 70 tan metrik setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim berkata, rekod itu kedua tertinggi selepas Perak.

Bagaimanapun, katanya, kedudukan jumlah pendaratan ikan bagi kedua-dua negeri ini sering berubah-ubah.

"Di Selangor, sebanyak RM101 juta nilai pendaratan ikan direkodkan sepanjang tempoh berkenaan dengan jeti nelayan di Sekinchan merekodkan tangkapan paling tinggi berbanding jeti lain.

"Ia membuktikan kesungguhan nelayan di negeri ini walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk pencemaran di Selat Melaka dan ancaman hakisan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Nelayan Pakej Kita Selangor 2.0 di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Sehubungan itu, Izham mengucapkan jutaan terima kasih kepada LKIM yang bertungkus-lumus meningkatkan prestasi tangkapan dan pendaratan ikan di Selangor.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan golongan nelayan supaya terbabit dalam sektor pelancongan yang mampu menjana pendapatan sampingan dan tidak memberi tumpuan kepada tangkapan ikan semata-mata.

"Di Kuala Selangor misalnya, Sky Mirror menyediakan pakej pelancongan seperti pengangkutan.

"Untuk itu, kita berusaha membantu persatuan nelayan dan ahlinya untuk meneliti dan melihat supaya mereka boleh dibantu bagi memperoleh sumber pendapatan sampingan," katanya.

Mengulas lanjut majlis penyampaian sumbangan, Izham berkata, sebanyak RM3 juta diperuntukkan kepada petani dan nelayan di Selangor melalui Pakej Kita Selangor 2.0.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.4 juta diagihkan kepada nelayan membabitkan 3,000 penerima.

"Bantuan diberi dalam bentuk subsidi minyak petrol RM300 yang terdiri daripada kalangan nelayan sungai dan laut selain bantuan enjin dan bot," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:25 PM