TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi . FOTO Arkib NSTP.
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi . FOTO Arkib NSTP.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Jawatankuasa Sosial yang ditubuhkan untuk menangani isu penderaan dan masalah sosial berkaitan kanak-kanak diharap diberikan kuasa bertindak sebagai badan penyelia mengenai perkara berkaitan pendidikan, hak dan jenayah terhadap golongan itu.

Katanya, beliau akan memperhalusi terlebih dulu mengenai penubuhan jawatankuasa berkenaan secepat mungkin kerana ia turut membabitkan isu-isu yang berkaitan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Saya melihat perlantikan ini sebagai satu tanggungjawab dan amanah yang besar memandangkan isu penderaan kanak-kanak belum dapat dituntaskan.

"Malah, terdapat beberapa isu lain berkaitan kanak-kanak masih lagi berlegar dan belum mendapat pembelaan yang sewajarnya. Kanak-kanak memerlukan perlindungan dan perhatian kita," katanya dalam satu kenyataan media, petang ini.

Ahmad Zahid berkata, turut ditangani melalui jawatankuasa itu adalah masalah anak-anak yang berbapakan warga asing atau beribukan warga asing, dengan pelaksanaan segera oleh Kementerian Dalam Negeri.

Beliau berkata, ia juga satu lagi usaha bawah Kerajaan Perpaduan yang prihatin untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang tidak sah taraf.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, yang sebelum ini mencadangkan penubuhan satu suruhanjaya bebas menjaga hak dan kesejahteraan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 7:05 PM