GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Plus Malaysia Berhad (Plus) menjangkakan 2 juta kenderaan sehari bakal menggunakan lebuh raya kendaliannya pada hari puncak sempena perayaan Deepavali, Ahad ini.

Justeru, Plus mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan Balik Kampung dan Kembali ke Lembah Klang sempena perayaan Deepavali di Lebuhraya Utara-Selatan pada 10 hingga 14 November ini.

Ia bagi membolehkan pengguna merancang perjalanan mereka di samping membolehkan Plus mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan tertumpu di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak.

Meskipun begitu, kelancaran perjalanan trafik turut bergantung kepada kejadian luar jangka seperti kemalangan dan sebagainya yang boleh mengganggu perjalanan di lebuh raya.

"Oleh itu, Plus menasihatkan orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan TTA yang dikeluarkan bukan sahaja bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang untuk balik kampung tetapi bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang selepas bercuti.

"Jadual TTA itu boleh diperoleh menerusi laman web PLUS di www.plus.com.my serta laman media sosial Plus Malaysia.

"Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Aplikasi X @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran radio utama negara," katanya dalam satu kenyataan media.

Pada masa sama, Plus juga akan memperkenalkan pendekatan terbaharu secara digital iaitu Program Rintis My-TTA yang menggunakan Aplikasi Plus bagi membantu orang ramai merancang perjalanan sempena perayaan Deepavali dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 5:41 PM