OMAR uzur sejak dua tahun lalu. FOTO FACEBOOK Omar Taib
OMAR uzur sejak dua tahun lalu. FOTO FACEBOOK Omar Taib
Ramlah Zainal


“KAMI sekeluarga sedih tapi reda dengan pemergian arwah. Kami juga sedia maklum faktor usia arwah yang sudah mencecah 72 tahun.

“Kami dihubungi pihak hospital pada jam 6.45 pagi dan terus bergegas ke hospital. Namun, apabila kami tiba, bapa sudah tiada," kata anak sulung komposer veteran Omar Taib, Norizan, 46, yang meninggal dunia di Hospital Serdang, dekat sini, jam 7 pagi hari ini.

Omar antara komposer yang aktif pada era 1970-an dan cukup sinonim dengan lagu malar segar Rindu Bayangan nyanyian Carefree.

Norizan ketika dihubungi berkata, bapanya kerap menjalani rawatan di Hospital Serdang dan sering keluar masuk ke hospital sejak dua tahun lalu.

"Keadaan bapa memang uzur sejak dua tahun lalu dan dia juga ada jangkitan pada bahagian paru-parunya. Bapa juga sudah tidak aktif berkarya sejak empat tahun lalu kerana keadaan kesihatannya yang uzur itu,” katanya ketika dihubungi.

Norizan berkata, jawatan terakhir bapanya ialah sebagai Penolong Pengarah di Yayasan Warisan Johor.

Ditanya apa pesanan terakhir arwah, Norizan berkata, bapanya mahu dikebumikan di kampung halaman dan berhampiran dengan arwah isterinya di Johor Bahru.

Jenazah Omar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor Bahru selepas Asar hari ini.

Selain Norizan, Allahyarham meninggalkan seorang anak lelaki, Zefree Zulkarnain, 43 dan lapan cucu. Selain Rindu Bayangan, Omar banyak menghasilkan lagu artis popular pada era 1970-an dan 1980-an seperti Jay-Jay, Datin Suliza Salam, Azlina Aziz dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 5:51 PM