Zatul Iffah Zolkipy


Kuala Nerus: Sepasang suami isteri terpaksa meredah air banjir sejauh 100 meter bersama anak mereka yang menghidap Cerebral Palsy (CP) selepas rumah mereka di Taman Murni Permai di sini dinaiki kelmarin.

Siti Salwa Amir Burhan, 25, bersama suami, Muhammad Qayyum Haidar, 24, dan anak, Muhammad Ibnu Malik berusia satu tahun meredah banjir dalam keadaan hujan untuk ke kereta yang diletakkan di tepi jalan sebelum bergerak ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal di sini.

Siti Salwa berkata, hujan mula melanda sejak petang Khamis lalu menyebabkan rumah mereka dinaiki air setinggi 0.3 meter pada 6 pagi kelmarin (Jumaat).

Dia hanya menyedari rumah sewanya dinaiki air kira-kira jam 6 pagi kelmarin sebelum segera mengemas barangan keperluan kerana air naik terlalu cepat.

"Kami mengambil keputusan berpindah awal kerana bimbang air semakin tinggi memandangkan ketika itu masih hujan.

"Dengan keadaan kesihatan anak, tentunya sukar jika air semakin tinggi, ini pun sudah sukar kerana anak memang tidak boleh kena hujan dan akan demam.

SITI Salwa Amir Burhan bersama anaknya ditempatkan di PPS SK Tok Jembal, di sini. FOTO Faizul Azlan Razak.
SITI Salwa Amir Burhan bersama anaknya ditempatkan di PPS SK Tok Jembal, di sini. FOTO Faizul Azlan Razak.

"Itu yang menambahkan kerisauan dan memang dalam kepala kami nak bawa anak tempat selamat," katanya.

Menurut Siti Salwa lagi, dia tidak menyangka akan menjadi penghuni PPS buat kali kedua tahun ini.

"Sebenarnya pada Januari lalu, kami berpindah ke PPS ini ketika rumah dinaiki air dan ketika itu anak baru berusia lima bulan.

"Memang kawasan ini sering dinaiki air tetapi ingatkan kali ini tidak banjir kerana pada Disember tahun lalu, rumah kami selamat.

"Bagaimanapun, persiapan banjir sudah dibuat sejak November lalu cuma apabila berlaku banjir, panik itu tetap ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 4:16 PM