Zahida menyampaikan ucapan. FOTO BERNAMA
Zahida menyampaikan ucapan. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Puteri Umno perlu menjadi penentu trend baru dalam parti dan menyumbang idea dimensi muda untuk meremajakan parti supaya terus kekal relevan dalam landskap politik semasa.

Ketua Puteri Umno Datuk Zahida Zarik Khan berkata, itu peranan yang dibawa Puteri Umno pada masa depan.

"Kita sepatutnya menjadi penentu trend baru dalam parti.

Kalau parti perlu reform, maka Puterilah sepatutnya menjadi ejen reformasi terkuat dalam parti.

"Sebagai orang muda mari kita perah otak kita untuk memberi dimensi muda untuk meremajakan parti yang kita sayangi," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Zahida berkata, kemahuan dan corak cita rasa pengundi adalah tuntutan terbesar yang perlu difahami dan ia diterjemahkan melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Menurutnya, justeru, konsep jentera dan gerak kerja parti juga perlu diubah dengan membuat penyesuaian baru dalam parti.

"Kita kalah bukan kerana tidak cukup memberi khidmat, kita kalah kerana tidak mampu melawan perang persepsi yang mereka (pihak lawan) mainkan.

"Banyak konsep gerak kerja pilihan raya perlu disemak semula. Ini juga menuntut untuk kita melihat semula peranan

Pergerakan Puteri," katanya.

Dalam pada itu, Zahida berkata, sudah sampai masanya untuk Umno memperkemaskan 'askar' media sosial dan membina kumpulan pempengaruh untuk 'menawan' pemikiran anak muda dalam memberi keseimbangan di negeri sasaran parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

"Saya menyeru pucuk pimpinan parti berilah tumpuan kepada kaedah ini dan keutamaan untuk menguruskan perang persepsi.

"Sepatutnya media sosial dijadikan 'core business' parti secara keseluruhannya di semua peringkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 12:47 PM