EMPAT nelayan warga Myanmar ditahan APMM Pulau Pinang, di perairan Muka Head, Teluk Bahang kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri serta melanggar syarat sah lesen. FOTO Ihsan APMM
EMPAT nelayan warga Myanmar ditahan APMM Pulau Pinang, di perairan Muka Head, Teluk Bahang kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri serta melanggar syarat sah lesen. FOTO Ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang menahan empat warga Myanmar yang mengemudi sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 38 batu nautika, barat laut Muka Head, Teluk Bahang, jam 10.10 pagi semalam.

Pemeriksaan mendapati, keempat-empatnya tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta melanggar syarat sah lesen.

Pengarahnya, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, terdahulu, bot kelas C terbabit dilihat menangkap ikan di perairan itu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, empat warga Myanmar terbabit berusia 31 hingga 51 tahun.

"Kesemuanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta melanggar syarat sah lesen bot.

"Bot nelayan itu juga didapati berpangkalan di Hutan Melintang, Perak," katanya pada kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Razak berkata, pengusaha bot disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Katanya, bot serta warga Myanmar terbabit ditahan sebelum dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung.

"APMM mendapati, masih ada pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (Pati) bagi bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran sudah diberi sebelum ini.

"Tindakan akan diambil bagi pihak yang melakukan kesalahan terbabit," katanya.

Maklumat berkaitan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 11:54 AM