HM Digital

Klang: Tindakan sebuah bot nelayan beroperasi tanpa kebenaran termasuk menggaji warga asing membawa padah apabila bot, tekong serta tiga awak-awak warga asing ditahan dalam operasi pagi kelmarin.

Bot nelayan Kelas B1 itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor kira-kira 7.3 batu nautika dari perairan Sekinchan pada jam 11.30 pagi.

Pengarah Maritim Daerah Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, pemeriksaan mendapati bot nelayan itu beroperasi tanpa surat kelulusan daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan untuk menggaji warga asing.

Beliau berkata, bot, tekong yang juga warga tempatan serta tiga warga Myanmar itu ditahan dan dibawa ke Jeti DM4 Selangor untuk siasatan lanjut.

“Empat lelaki termasuk tekong tempatan yang ditahan itu berusia antara 24 hingga 34 tahun.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar arahan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan serta tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di perairan negara khususnya Selangor.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan kepada APMM di talian 24 jam MERS 999 atau hubungi pusat operasi Maritim Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 9:19 AM