GAMBAR hiasan. FOTO Danial Saad
GAMBAR hiasan. FOTO Danial Saad
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kes harian Covid-19 di negara ini memperlihatkan peningkatan sebanyak 4,071 kes menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan akibat wabak berkenaan adalah 4,749,000.

Menerusi laman sesawang CovidNOW, data menunjukkan 4,069 kes adalah penularan tempatan, manakala dua lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Sehingga kini terdapat sebanyak 42,476 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dan daripada jumlah itu 96.1 peratus bersamaan 40,826 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah serta 1,542 kes atau 3.6 peratus berada di hospital.

Selain itu terdapat 27 individu sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan di unit rawatan rapi (ICU) terdapat sejumlah 81 pesakit dengan 45 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, peratusan penggunaan ICU di negara berada di tahap 62.5 peratus, bagaimanapun peratusan yang digunakan oleh pesakit Covid-19 adalah 21.7 peratus.

Mengenai jumlah kes kematian akibat jangkitan itu, setakat semalam terdapat tujuh kes termasuk satu kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Pertambahan jumlah itu menjadikan sehingga kini angka korban di negara ini meningkat kepada 36,124 kes dengan 7,677 kes adalah kematian sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Bagi kes sembuh pula, sebanyak 3,289 kes dilaporkan semalam sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pesakit Covid-19 yang sudah sembuh adalah 4,670,400 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 9:05 AM