Murid menggunakan perkhidmatan bas dan van sekolah. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Murid menggunakan perkhidmatan bas dan van sekolah. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Izzati Zaidi


Kuala Lumpur: Kos sara hidup dan penyelenggaraan kenderaan didakwa menjadi punca tambang bas sekolah terpaksa dinaikkan.

Difahamkan tambang bas sekolah dijangka naik antara RM5 sehingga RM10 bermula Mac ini.

Pemilik bas yang hanya mahu dikenali sebagai Man berkata, kenaikan tambang bas sekolah disebabkan peningkatan kos sara hidup, penyelenggaraan dan menggaji pekerja.

Menurutnya, penyelenggaraan kenderaan penting demi menjaga kualiti dan keselamatan penumpang.

"Kos penyelenggaraan sudah naik malah setiap bulan kena servis.

"Kalau dulu tukar minyak hitam cuma RM110 hingga RM160 tapi sekarang untuk servis itu kena caj sehingga RM190 malah harga alat ganti turut naik.

"Memandangkan ekonomi tak stabil, kos sara hidup meningkat, harga barang naik dan mahu bayar gaji pekerja, kami terpaksa naikkan harga tambang bas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun Man berkata, kebanyakan ibu bapa memahami situasi yang berlaku ini.

"Harga berbeza ikut tempat dan jarak. Kalau makin jauh makin mahal dan dulu seorang dikenakan tambang RM60 hingga RM70 sebulan sekiranya jarak dekat namun terpaksa naikkan sedikit bagi menampung kos-kos lain," katanya.

Sementara itu, pemilik bas, Mohd Azman Farouq berkata, kenaikan tambang bas sekolah adalah susulan daripada keadaan ekonomi.

"Faktor kenaikan harga tambang bas berkait dengan peningkatan harga barangan lain di pasaran.

"Harga barang semakin mahal dan secara tidak langsung kos penyelenggaraan bagi bas sekolah turut meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 5:31 PM