Murid-murid menaiki bas sekolah di SK Bukit Pantai ketika tamat waktu persekolahan. Tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini dijangka akan meningkat susulan pertambahan kos operasi dan penyelenggaraan jentera terutama di kawasan bandar seperti Lembah Klang. FOTO SADIQ SANI
Murid-murid menaiki bas sekolah di SK Bukit Pantai ketika tamat waktu persekolahan. Tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini dijangka akan meningkat susulan pertambahan kos operasi dan penyelenggaraan jentera terutama di kawasan bandar seperti Lembah Klang. FOTO SADIQ SANI
Nur Elysa Amirah Suhaimi


Kuala Lumpur: Kenaikan tambang bas sekolah adalah munasabah sekali gus wujud situasi menang-menang antara pengusaha dan ibu bapa.

Presiden Persatuan Gabungan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah Malaysia, Dr M Muruga berkata, cadangan menaikkan tambang bas sekolah itu tidak membebankan ibu bapa.

"Kami mohon ibu bapa memberi kelonggaran kepada pengusaha bas sekolah untuk menaikkan tambang kira-kira RM10.

"Harga alat-alat ganti, minyak pelincir, termasuk insurans untuk murid-murid dan kenderaan sudah melonjak naik dan ia juga membebankan kami.

"Kami sebagai pengusaha juga tidak menyalahkan ibu bapa tetapi jika tidak dinaikkan ia satu bebanan kepada pengusaha, saya rasa kenaikan ini sudah menjadi situasi menang-menang antara pengusaha dan ibu bapa," katanya.

Menurutnya, pihak persatuan belum ada sebarang perjumpaan dengan mana-mana agensi berkaitan dan berharap dapat berbincang terus dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

"Sudah beberapa kali pihak kami memohon untuk berjumpa tetapi tidak dapat kerana jadualnya yang padat.

"Kami berharap pihak kerajaan mendengar keluhan pengusaha bas sekolah yang mendaftar dan memberi sedikit kelonggaran (bantuan).

"Kami ditugaskan untuk menghantar dan mengambil 'permata negara', kerajaan perlu adil dan memberi pengiktirafan juga kepada kami sebagai pengusaha bas," katanya.

Dia mencadangkan supaya kerajaan negeri turut membantu pengusaha bas di tempat masing-masing dengan memberi subsidi kepada pengusaha yang mendaftar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 2:48 PM