GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Rata-rata pengguna menyifatkan kadar tambang bas sekolah yang diumumkan terlalu tinggi dan membebankan.

Tinjauan Harian Metro mendapati, mereka mempersoalkan kewajaran kadar berkenaan memandangkan ia hanya membabitkan mengambil dan menghantar anak-anak pulang dari sekolah.

Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Mahmud, berkata, caj RM300 itu agak tinggi kerana ia tidak termasuk perkhidmatan lain seperti taska yang menyediakan makanan, minuman dan sebagainya.

"Tak masuk akal, mahal sangat sudah macam hantar anak ke taska pula dan kalau di sana ada makanan, minuman dan tempat berehat ini cuma naik bas untuk pulang ke rumah saja boleh mencecah RM300, "katanya.

Bapa empat anak itu memberi reaksi itu susulan kenaikan kadar tambang bas sekolah sehingga mencecah RM300 sebulan bermula 3 Januari ini seperti laporan sebuah media.

Mahmud berkata, setakat ini pihak pengurusan bas sekolah dua anaknya belum memaklumkan sebarang kenaikan harga tambang dan tahun ini dia membayar RM80 sebulan untuk seorang anak.

"Tak wajar sangat harga itu kerana terlalu mahal bagi saya kalau untuk seorang. Kita bayar mahal selepas itu ada sesetengah pengusaha menjual makanan ringan sekali gus kita perlu memberi wang saku tambahan pula.

"Lagipun jarak rumah dengan sekolah dekat sangat kira-kira tiga kilometer (km) saja jadi tak berbaloi untuk bayar harga terlalu tinggi bagi perjalanan sejauh itu," katanya yang tinggal di Bandar Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak.

Katanya, dia juga hairan apabila mengetahui berita kenaikan harga tambang bas itu sedangkan harga petrol juga tidak mengalami kenaikan mendadak.

"Pelik juga kalau nak naikkan harga pun biarlah setimpal ini mencecah RM300 itu mahal sangat akan membuatkan ibu bapa terutama yang mempunyai anak ramai terbeban. Biasa ibu bapa menghantar anak bersekolah tidak terlalu jauh dari rumah jadi untuk harga itu memang tidak berbaloi.

"Kalau pengusaha bas ini naikkan tambang, perkhidmatan bas macam mana? Macam bas anak saya tiada penghawa dingin biarpun dibayar RM80 sebulan. Sepatutnya perlu ada mekanisme supaya mereka tidak menaikkan harga tambang sesuka hati," katanya.

Ibu tiga anak, Norzulaila Zulkifli, 35, dari Cheras Baru, berkata, dia juga terkejut mendengar berita tambang bas sekolah akan dinaikkan harga hingga mencecah RM300 kerana baginya juga harga itu terlalu mahal.

Katanya, untuk tambang bas sekolah dua anaknya berusia tujuh dan sembilan tahun pada tahun ini hanya RM100, namun setakat ini harganya masih kekal untuk tahun depan.

"Harga yang saya bayar itu untuk sekolah pagi dan agama yang jarak rumah kami hanya dua kilometer saja dari rumah ke sekolah. Harga tambang lagi mahal dari wang saku bulanan anak, kalau jarak sekolah jauh lebih 10 km itu saya rasa bolehlah dipertimbangkan jika ada kenaikan.

"Mereka naikkan harga tambang adakah perkhidmatan juga ditambah naik? Seperti keadaan bas, penghawa dingin atau kalau disediakan sekali makanan seperti sarapan pagi bolehlah kita pertimbangkan harga itu," katanya.

Terdahulu, media melaporkan, ramai ibu bapa tidak berpuas hati apabila terdapat pengusaha perkhidmatan bas sekolah menaikkan lagi kadar tambang sehingga mencecah RM300 sebulan pada tahun depan bermula 3 Januari ini.

Laporan itu menyebut, pihak pengusaha bas sekolah sudah memaklumkan mengenai kenaikan itu minggu lalu, malah mereka sudah meminta ibu bapa membuat pembayaran tambang baharu sebelum Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 2:27 PM