AKIBAT daripada banjir di Baling pada 4 Julai lalu.
AKIBAT daripada banjir di Baling pada 4 Julai lalu.
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: "Sekiranya rumah baharu dapat siap bulan hadapan, kami lega. Tetapi melihat kerja pembinaan semasa, saya tak yakin kami dapat pindah sebelum Aidilfitri nanti," kata Abdul Rahman Said, 71.

Penduduk pinggir Sungai Kupang di Baling yang kehilangan rumah akibat banjir pada 4 Julai tahun lalu itu, berkata hampir setiap hari dia melalui kawasan projek pembinaan rumah baharu mereka di Desa KEDA Kampung Sadek.

Katanya, apa yang dapat dilihat adalah kerja pembinaan berjalan sangat perlahan hingga tiga buah rumah sahaja berjaya disiapkan setakat ini, manakala rumah lain belum nampak tiang lagi.

"Apabila Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor beritahu media bahawa rumah kami akan siap hujung bulan depan, perasaan gembira memang ada, tapi saya masih rasa ragu apabila melihat proses pembinaan rumah.

"Sebelum ini proses timbun tanah juga lambat, saya nampak proses bina rumah akan ambil masa dan apabila siap akan ada proses dokumentasi dahulu. Hanya selepas itu kerajaan akan serah kunci, jadi saya rasa lepas Aidilfitri baru kami dapat rumah ini," katanya di sini, hari ini.

Abdul Rahman yang kehilangan isteri serta anak dan menantu dalam kejadian banjir puing itu, bagaimanapun berasa sedikit lega apabila Pejabat Daerah Baling akan terus membayar sewa rumah mereka setiap bulan.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Lateh, 73, berkata dia berharap kerajaan negeri dapat mempercepatkan pembinaan rumah baharu berkenaan sekiranya ia mahu disiapkan pada hujung bulan depan.

Katanya, pada masa sama beliau juga tidak terlalu yakin rumah itu akan disiapkan pada hujung Februari depan.

"Kehilangan rumah akibat kejadian banjir puing tahun lalu bukan sesuatu yang mudah untuk kami lalui, apatah lagi terpaksa pindah ke rumah sewa. Kami hilang segalanya, hanya harap bantuan orang ramai, badan bukan kerajaan (NGO), sanak saudara dan kerajaan.

"Cuma apabila dapat tinggal di rumah sendiri, pasti perasaan itu lebih selesa," katanya.

Khamis lalu media melaporkan, rumah baharu penduduk yang kehilangan kediaman akibat banjir puing di Baling pada 4 Julai tahun lalu, kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap selewat-lewatnya hujung bulan depan.

Muhammad Sanusi berkata 17 rumah baharu itu sepatutnya siap pada Disember lalu, namun berlaku kelewatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 2:08 PM