Rosli Ilham

Besut: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan perkhidmatan servis motosikal percuma kepada penduduk Kampung La, di sini, yang terjejas akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) Disember lalu.

Penyelaras NGO terbabit, Hasan Harun berkata, seramai 30 ahli daripada Iman Care, Alternative Ride Club dan Warga Cakna bekerjasama menjalankan kerja amal berkenaan.

Menurutnya, mereka memberi perkhidmatan menggantikan minyak pelincir, palam pencucuh serta membaiki kerosakan kecil kepada motosikal penduduk.

"Program amal ini bertujuan membantu penduduk yang majoritinya bekerja sebagai petani dan pekebun. Alhamdulillah, dalam tempoh sehari kami berjaya servis 200 motosikal penduduk.

"Selain perkhidmatan servis motosikal percuma, kami turut menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada mangsa banjir," katanya ketika ditemui, hari ini.

Penduduk, Rosmaliza Latif, 28, berkata, dia terharu dengan kerja amal yang dilakukan NGO terbabit bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir, baru-baru ini.

"Sumbangan sebegini sedikit sebanyak meringankan beban kami yang terkesan dengan musibah banjir.

"Banjir kali ini sangat buruk sehingga kami gagal menyelamatkan kenderaan ke tempat selamat serta banyak barangan dihanyutkan banjir," katanya.

Salah sebuah motosikal penduduk yang terkesan banjir diservis dan dibaiki. FOTO Rosli Ilham
Salah sebuah motosikal penduduk yang terkesan banjir diservis dan dibaiki. FOTO Rosli Ilham

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 3:01 PM