Rosli Ilham

Dungun : "Kami kenakan caj yang murah kerana mahu membantu orang ramai yang terkandas akibat banjir," kata pengusaha trak tunda, Mohd Faizul Azuar Ubaidillah, 22.

Mohd Faizul Azuar bersama rakannya menawarkan perkhidmatan trak tunda itu bagi membantu pengguna jalan raya meredah banjir berikutan beberapa jalan utama di daerah ini dinaiki air.

Menurutnya, biasanya mereka mengenakan caj perkhidmatan tunda kenderaan sekitar RM200 hingga RM250, tetapi musim banjir ini mereka hanya menawarkan bayaran antara RM100 hingga RM150 bergantung kepada jarak dan kedalaman air.

"Harga yang dikenakan itu tidak membebankan dan caj serendah itu sekadar untuk menampung kos minyak, servis dan membaiki lori," katanya ketika ditemui di Jalan Kampung Nyiur-Pinang Merah di sini, hari ini.

Seorang lagi pengusaha trak tunda, Shah Hakim Alias, 32, berkata, ramai yang mendapatkan perkhidmatan trak tunda kerana mereka tidak sanggup menggunakan laluan alternatif yang sangat jauh.

"Kami tidak pernah memaksa pengguna, mereka boleh buat pilihan untuk berpatah balik atau melalui jalan alternatif.

"Saya menawarkan perkhidmatan 24 jam ini bagi memudahkan urusan pengguna terutamanya kenderaan ringan meredah banjir dengan selamat.," katanya.

Penduduk, Ahmad Ismail Abu Bakar, 49, berkata, harga yang dikenakan itu munasabah untuk meredah laluan yang terjejas banjir.

"Saya terkandas ketika melalui jalan Air Hitam untuk Kuala Terengganu atas urusan penting kerana tidak tahu jalan ditutup kepada kenderaan ringan.

"Jadi saya terpaksa menggunakan perkhidmatan trak tunda untuk menunda kereta saya dari Air Hitam ke Kampung Nyior yang sejauh kira-kira tiga kilometer dengan kedalaman air sehingga 1.5 meter," katanya.

TRAK tunda membantu pengguna jalan raya yang terkandas banjir. FOTO Rosli Ilham
TRAK tunda membantu pengguna jalan raya yang terkandas banjir. FOTO Rosli Ilham

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 8:29 PM