Banjir kilat di Kampung Lakai, Jelebu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Banjir kilat di Kampung Lakai, Jelebu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


ENAM penduduk membabitkan dua keluarga dari Kampung Lakai, Jelebu dipindahkan ke balai raya kampung selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat, 4 pagi, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu, Adlan Jasin berkata, banjir berlaku akibat limpahan air Sungai Pertang yang menghampiri kediaman penduduk.

Katanya, air memasuki rumah hingga paras lutut, 3 pagi, menyebabkan mereka dipindahkan ke balai raya.

"Setakat ini banjir mulai surut dan semua mangsa dibenarkan pulang untuk membersihkan kediaman," katanya.

Adlan berkata, warga emas berusia 80 tahun yang juga pesakit terlantar ditempatkan sementara di rumahnya.

"Pemerhatian mendapati hujan lebat bermula 12 tengah malam tadi menyebabkan paras air sungai meningkat. Ia melepasi tebing hingga berlaku banjir," katanya.

Menurutnya, kejadian sama berlaku bulan lalu menyaksikan sembilan keluarga dipindahkan ke balai raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 3:14 PM