MITSUHARU (dua dari kiri) dan Teresa (dua dari kanan) mengacau bubur lambuk untuk disediakan kepada komuniti.
MITSUHARU (dua dari kiri) dan Teresa (dua dari kanan) mengacau bubur lambuk untuk disediakan kepada komuniti.
Lizam Ridzuan


SELAIN aktif dengan aktiviti pengeluaran motosikal, Boon Siew Honda yang juga dikenali sebagai Honda Motorcycle Malaysia tidak lupa akan sumbangan terhadap komuniti.

Menerusi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka baru-baru ini diadakan ketika Ramadan dengan penganjuran program komuniti 'Gerak Bersama Honda, Bersama Di Hati' .

Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Mitsuharu Funase berkata ini adalah program CSR pertama mereka yang berskala besar untuk berkongsi rezeki dengan komuniti dan golongan memerlukan.

"Saya bersyukur kerana Boon Siew Honda berjaya menyemarakkan moto 'Semangat Impian' melalui khidmat komuniti kepada masyarakat.

"Persahabatan dan hubungan baharu yang dibina serta peluang untuk melihat kegembiraan pada wajah penduduk setempat adalah pengalaman yang sangat berharga buat kami dan dapat terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat melalui produk dan servis," katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kampung Muhibbah, Attar Bacha dan Duta Honda Motorcycle Malaysia, Aman RA.

Program ini diadakan di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur dan antara aktiviti yang disediakan ialah perkhidmatan pemeriksaan motosikal Honda percuma, pembungkusan dan pengedaran Pek Keceriaan Honda, serta pengagihan Bubur Lambuk kepada penduduk.

Untuk pemeriksaan motosikal sebanyak 80 slot disediakan melalui lima titik pemeriksaan yang merangkumi pemeriksaan tayar, minyak enjin, palam pencucuh, bateri dan gegancu rantai.

Pemilik motosikal kemudian boleh menebus servis penukaran minyak enjin percuma di Honda Impian X Chai Ken Motorcycles di Kinrara, Kuala Lumpur dan membaiki isu lain yang dikenal pasti oleh juruteknik profesional Honda.

Sebanyak 40 Pek Keceriaan Honda mengandungi makanan asas seperti beras, gula, minyak masak, biskut, garam, dan makanan dalam tin telah diedarkan oleh barisan pihak pengurusan Boon

Siew Honda kepada rumah terpilih PPR Kampung Muhibbah juga.

Selain itu, 1,000 bungkus bubur lambuk juga diedarkan kepada penduduk PPR yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan umur untuk dinikmati. Setiap bungkusan bubur lambuk mengandungi kurma dan minuman sesuai untuk berbuka puasa atau makan malam.

Untuk kanak-kanak pula dihadiahkan 300 set mewarna sebagai pelengkap alat tulis untuk digunakan untuk persekolahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 6:55 AM