Sebahagian daripada penyokong pada perlawanan AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Sebahagian daripada penyokong pada perlawanan AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lebih 10 barang dilarang dibawa oleh penonton ketika menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bola sepak ASEAN (AFF) 2022 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam ini.

Perlawanan yang berlangsung pada 8.30 malam itu dijangka akan dihadiri 59,000 penyokong kedua-dua pasukan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, pihak polis membuat persiapan rapi di sekitar kawasan stadium berkenaan.

Menurutnya, sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk serta selepas memasuki pekarangan stadium.

"Senarai barang terlarang yang tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam stadium ialah mercun, bunga api, suar, topi keledar, pen laser, objek tajam dan minuman keras.

"Selain itu, payung atau tongkat, powerbank, botol air, pemetik api serta rokok atau rokok elektronik turut dilarang," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, pihak polis juga akan memastikan aliran trafik di sekitar stadium berjalan lancar dan orang ramai dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam untuk datang ke SNBJ.

Katanya, orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan daripada anggota polis bertugas selain tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan.

"Pengguna jalan raya dinasihati mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur semasa memandu kenderaan.

"Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan sentiasa memakai pelitup muka di tempat yang sesak selain tidak melakukan sebarang provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sama ada semasa perlawanan atau selepas perlawanan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 3:44 PM