Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Seorang Kadi Daerah di negeri ini ditahan reman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu pada 2020.

Perintah reman dikeluarkan Majistret R Salini selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, suspek yang berusia 51 tahun itu ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu kepada Bahagian Kewangan Pejabat Kadi Daerah bagi Oktober 2020 berkaitan tuntutan Elaun Perjalanan Dalam Negeri.

Suspek membuat tuntutan menaiki kenderaan persendirian, sedangkan beliau menghadiri program anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dengan menggunakan kenderaan jabatan.

Terdahulu, tertuduh tiba ke mahkamah Johor Bahru dengan berpakaian lokap dan diiringi pegawai SPRM kira-kira jam 8.30 pagi.

Seorang Kadi Daerah direman empat hari disyaki mengemukakan tuntutan palsu tahun 2020. FOTO OMAR AHMAD
Seorang Kadi Daerah direman empat hari disyaki mengemukakan tuntutan palsu tahun 2020. FOTO OMAR AHMAD

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 3:59 PM