GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Dua pengarah syarikat swasta ditahan kerana disyaki terbabit dalam mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), petang tadi.

Ia berkaitan tuntutan Program Subsidi Upah (PSU) di bawah pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor dalam kenyataannya, dua suspek lelaki dan wanita berusia 64 dan 39 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor petang tadi, bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

"SPRM memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan isu ketirisan terhadap bantuan yang disalurkan oleh kerajaan bagi meringankan bebanan rakyat dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

"Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009," katanya.

Beliau berkata, dua suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM sementara menunggu pendakwaan ke atas mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 8:43 PM