Sabri (kanan) bersama Mohd Fadhil melawat pameran. FOTO Amirudin Sahib
Sabri (kanan) bersama Mohd Fadhil melawat pameran. FOTO Amirudin Sahib
Izzati Zaidi


Kuala Lumpur: Petronas terus komited dalam memangkinkan perkongsian ilmu antara industri dan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam bidang teknikal sebagai pengetahuan dan pendedahan awal kepada pelajar.

Pengurus Kawalan Projek Petronas, Mohd Fadhil Samat berkata, kerjasama ini berada di atas asas yang kukuh untuk mempercepatkan momentum dalam mencapai impak sosial yang positif sambil menyokong Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG 4) iaitu Pendidikan Berkualiti.

"Kerjasama ini dijangka menyumbang kepada usaha pembangunan modal insan Malaysia, sekali gus memberi impak simbolik melalui pembelajaran, bimbingan, pembangunan dan penganjuran penyelidikan yang meluas dalam pelbagai bidang teknikal berkaitan dengan industri tenaga yang semakin intensif.

"Petronas percaya pada kekuatan sinergi dengan rakan akademik dan kami komited membuat perubahan dalam memupuk bakat untuk membentuk masa depan negara yang mampan.

"Pembangunan bakat melalui inisiatif pendidikan adalah salah satu cara kita menyumbang kepada pembinaan negara dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kolaborasi bersama Inisiatif Strategik Institusi Pengajian Tinggi (CHESS) Petronas-UM di Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM Prof Dr Sabri Musa berkata, program Chess dilihat sebagai perkongsian amat penting untuk mengukuh, mempromosi dan membangunkan kerjasama antara UM dan Petronas.

"Salah satu skop kerjasama ialah bimbingan dan bukan sahaja untuk pensyarah, tetapi juga untuk pelajar.

"Saya yakin melalui usaha dan komitmen ini, kami dapat membangun dan mengembangkan kemahiran baharu di kalangan kumpulan bakat kami, ahli akademik mahupun profesional industri," katanya.

Dalam perkembangan sama, Chess akan menganjurkan simposium pada Mac ini bertujuan mengukuhkan jalinan antara golongan akademik dan industri, selain mewujudkan peluang serta memupuk pelajar untuk menyertai sekali gus menyumbang kepada industri minyak, gas dan tenaga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 3:17 PM