Mohamad Sabu (kiri) melihat ternakan lembu yang akan diserahkan kepada penerima sempena Majlis Penyerahan Bantuan Agromakanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Pejabat KADA Jajahan Kota Bharu Utara, Nilam Puri hari ini. FOTO BERNAMA
Mohamad Sabu (kiri) melihat ternakan lembu yang akan diserahkan kepada penerima sempena Majlis Penyerahan Bantuan Agromakanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Pejabat KADA Jajahan Kota Bharu Utara, Nilam Puri hari ini. FOTO BERNAMA
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menerima peruntukan sebanyak RM10 juta untuk tempoh lima tahun bermula 2021 sehingga 2025 bagi meningkatkan pengeluaran produk pertanian sekali gus memastikan kemakmuran petani.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, sebanyak RM2 juta diagihkan bagi 2021, dan peruntukan sebanyak RM1.5 juta diluluskan pada 2022.

Katanya, peruntukan itu diberikan menerusi Program Bantuan Agromakanan yang juga satu daripada projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

"Ia adalah salah satu inisiatif kementerian untuk meningkatkan kemakmuran petani dan pengeluaran produk pertanian melalui program peningkatan pendapatan petani.

"Program ini membabitkan golongan sasar di bawah KADA iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas dan Tumpat yang mengusahakan tanaman padi serta aktiviti pertanian dan penternakan lain.

"Jumlah penerima yang mendapat manfaat daripada program ini sepanjang 2021 untuk lima jajahan ini ialah seramai 936 orang dengan peruntukan RM1.5 juta," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Agromakanan kepada 72 penerima KADA membabitkan nilai keseluruhan RM360,000 di pejabat KADA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, penerima kategori ruminan iaitu ternakan lembu, kambing dan biri-biri paling tinggi iaitu sebanyak RM640,000, manakala tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan membabitkan RM450,000.

"Bagi ternakan unggas dan projek lain seperti kelulut serta arnab masing-masing berjumlah RM150,000 dan RM200,000 manakala ternakan air tawar berjumlah RM60,000.

"Pelaksanaan program ini mampu mengurangkan kos operasi petani dan penternak yang masih berada dalam golongan berpendapatan rendah serta sederhana sehingga mampu melahirkan usahawan pertanian yang berjaya.

"Ia dilaksanakan bagi membantu meningkatkan pendapatan melalui khidmat nasihat dan agihan bantuan seperti input pertanian serta pengagihan peralatan pertanian bagi penanam sayur dan buah-buahan," katanya.

Beliau berkata, dengan bantuan ini, projek ekonomi membabitkan aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pengedaran dan pemasaran berkaitan pertanian serta penternakan bagi tujuan meningkatkan produktiviti tanaman dapat dilaksanakan.

Selain itu, beliau berkata, ia juga dapat mempertingkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan daya saing melalui kursus serta latihan untuk pembangunan kecekapan modal insan yang secara tidak langsung dapat mengeluarkan petani dari belenggu kemiskinan.

"Mereka juga diberikan bantuan dan latihan mengikut keperluan projek dengan nilai yang ditetapkan oleh kementerian melalui KADA. "Antara bantuan yang diagihkan ialah baka ternakan ruminan iaitu biri-biri dan lembu untuk pembiakbakaan serta bantuan benih ikan keli, patin dan tilapia bagi menggalakkan industri ikan air tawar.

"Kementerian melalui KADA akan terus melaksanakan program seperti ini dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan petani bagi memperkasakan ekonomi golongan sasar B40 di samping berusaha melahirkan usahawan agro yang lebih berdaya saing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 2:17 PM