PESERTA mendengar penerangan mengenai proses silaj (makanan ternakan) menggunakan otosil.
PESERTA mendengar penerangan mengenai proses silaj (makanan ternakan) menggunakan otosil.
Khairulmizan Yahya

Industri penternakan terutama ternakan ruminan seperti lembu, kambing dan biri-biri berpotensi untuk dikembangkan bagi menjamin bekalan makanan dalam negara mencukupi, sekali gus mengurangkan daging import.

Namun, ada beberapa isu dan cabaran dalam pembangunan industri berkenaan termasuk harga makanan ternakan yang tinggi.

Bagi mengatasi masalah itu, golongan penternak sentiasa digalak menghasilkan sumber makanan ternakan sendiri, sekali gus dapat mengurangkan kos serta kebergantungan terhadap makanan ternakan import.

Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pahang Mohd Ridzuan Mohd Saad berkata, pemakanan aspek penting dalam bidang penternakan kerana ia akan menentukan kos dan kualiti ternakan, malah kos yang rendah menjadikan perniagaan lebih kompetatif.

“Permintaan terhadap makanan ternakan yang berkualiti dengan harga kompetatif di negara ini sangat tinggi dan membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat di bidang itu.

“MARDI sentiasa bersedia membantu golongan penternak atau mereka yang berminat di bidang pemakanan ternakan melalui perkongsian maklumat serta pemindahan teknologi,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Seminar Teknologi Pemakanan Ternakan di Taman Agroteknologi MARDI Cherating, di Kuantan, baru-baru ini.

Mohd Ridzuan berkata, faktor kurang kesedaran menyebabkan tidak ramai pihak berminat dalam pemakanan ternakan termasuk golongan penternak sendiri walaupun bidang itu berpotensi tinggi.

“Kami sentiasa memberi galakan terutama kepada penternak dan usahawan melalui penganjuran seminar, pengkongsian maklumat, khidmat nasihat dan pemindahan teknologi. Malah, usaha itu dilaksanakan secara berterusan.

“Di peringkat MARDI Pahang, kami kini melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperluaskan penggunaan tanah pamah dengan penanaman jagung dan setakat ini ia dilaksanakan secara kecil-kecilan.

“Langkah itu untuk menjadikan tanaman bijirin termasuk jagung sebagai tanaman kedua terbesar negara selepas padi, malah jagung juga boleh dijadikan sumber makanan ternakan bagi unggas dan ruminan,” katanya.

Sementara itu, seramai 37 peserta dari Pahang, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan menyertai seminar percuma itu.

Melalui seminar sehari itu, peserta didedahkan dengan teori dan praktikal mengenai bidang ternakan serta pemakanan ternakan seperti pengenalan industri ternakan ruminan dan pemprosesan silaj (makanan ternakan) menggunakan otosil.

Peserta, Abdul Halim Mohd Hanafi, 38, berkata, dia menyertai seminar itu bagi meningkatkan pengetahuan mengenai teknologi pemakanan ternakan sebagai persediaan mengembangkan perniagaannya.

“Saya menjalankan perniagaan membekal rumput dan benih rumput jenis napier zanzibar untuk ternakan dan bercadang mengeluarkan makanan ternakan berasaskan rumput yang sudah siap diproses selepas ini.

“Melalui seminar ini, banyak maklumat berguna yang saya peroleh selain mempelajari teknologi terkini dan berharap lebih seminar sebegini boleh diadakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, permintaan makanan ternakan khususnya rumput sangat tinggi sehingga ada ketika pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan terutama menjelang musim perayaan.

“Ini kerana penternak kebanyakan mengurung ternakan mereka untuk proses penggemukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 5:01 AM