ALLAHYARHAM Abd Aziz Usoff
ALLAHYARHAM Abd Aziz Usoff
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Beliau seorang pegawai yang sangat berdedikasi dan komited terhadap tugas serta tanggungjawab terutama ketika melakukan operasi kebombaan. Kematian tuan Abd Aziz satu kehilangan yang sukar dicari ganti,"

Itu kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis susulan pemergian Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang, Abd Aziz Usoff kerana serangan jantung, semalam.

Norazam berkata, Abd Aziz meninggal dunia jam 7.55 pagi pada usia 49 tahun.

Katanya, jenazah kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat sebelum dibawa ke Masjid Jamek Nurul Iman, Rawang untuk disolatkan.

"Allahyarham antara pegawai yang bertugas ketika operasi tanah runtuh di Batang Kali, baru-baru ini.

"Malah, beliau antara yang terawal tiba di lokasi kejadian bagi membantu operasi penyelamatan walaupun tragedi berkenaan bukan berada di bawah kawasan jagaan beliau," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Noorazam berkata, Allahyarham yang berasal dari Kampung Banggol Penyegat, Karangan, Kulim di Kedah sudah berkhidmat dengan pasukan JBPM selama 15 tahun.

Katanya, Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Siti Mardhiah Nayan@Ahmad serta empat cahaya mata lelaki.

"Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Al Ittihad, Sungai Kob, Karangan, Kulim, Kedah, jam 9.30 malam semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 10:07 PM