Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Biarpun banjir teruk yang melanda negeri ini belum surut sepenuhnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil inisiatif melakukan pembersihan terutama di beberapa tempat yang dipenuhi lumpur.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pembersihan tertumpu di kawasan yang terjejas teruk dan memerlukan bantuan anggota bomba seperti di sekolah-sekolah.

Menurutnya, buat masa sekarang JBPM masih tertumpu dalam misi menyelamat mangsa banjir, namun turut melakukan pembersihan kerana akan memberi kesukaran jika keadaan berselut dibiarkan.

"Sekarang ini, kerja-kerja pembersihan pasca banjir belum lagi dilaksanakan kerana masih tertumpu dalam misi menyelamat mangsa dan kebanyakan kawasan masih terjejas teruk.

"Tapi, bila ada tempat yang teruk seperti di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa Hilir ini yang mana kesan daripada banjir dipenuhi lumpur memerlukan bantuan anggota bomba, maka kerja pembersihan dilakukan segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau situasi banjir di sekolah berkenaan, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid.

Akmal Nasrullah (Pakai vest) membersihkan selut ketika meninjau keadaan banjir. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Akmal Nasrullah (Pakai vest) membersihkan selut ketika meninjau keadaan banjir. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK

Akmal Nasrullah berkata, strategi pengurusan banjir bomba yang dilakukan lebih awal sebelum memasuki fasa Monsun Timur Laut (MTL) dilihat berjaya membantu melancarkan operasi.

Beliau berkata, ia bagi membantu memudahkan anggota bomba melakukan kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa terutama di kawasan yang sering dilanda banjir setiap tahun.

"Jika mengikut statistik banjir yang melanda Terengganu, lebih 40,000 mangsa terbabit dengan banjir dan daripada jumlah itu dianggarkan 2,000 orang diselamatkan pihak bomba.

"Jadi, kita percaya jika perancangan awal dilakukan, ia dapat melancarkan pergerakan anggota dalam membantu mangsa banjir kerana mereka turut perlu memberi keutamaan kepada kes kecemasan lain seperti kebakaran dan kemalangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 5:03 PM