MOHAMAD Taufik
MOHAMAD Taufik
Muhaamad Hafis Nawawi


Hulu Selangor: "Ketika saya bersama rakan setugas mengangkat mayat kanak-kanak itu menggunakan pengusung, perasaan jadi sedih, sayu... saya terkenang anak sendiri di rumah," itu kata anggota anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohamad Taufik Aini.

Saat mengangkat mayat kanak-kanak perempuan di kawasan tanah runtuh di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali, Hulu Selangor, kelmarin meninggalkan kesan yang mendalam kepada dirinya.

Mohamad Taufik yang berkhidmat di Balai Bomba Setapak berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui susulan penemuan awal satu beg pakaian dan beg komputer riba.

"Selepas usaha pengorekan tanah terus dilakukan, mayat mangsa dijumpai.

"Ketika membantu mengangkat dan membawa naik mayat mangsa, perasaan amat sedih," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada hari ini.

Mohamad Taufik berkata, mangsa masih kecil dan mungkin sebaya seperti anaknya.

"Saya bersama rakan sepasukan yang lain membantu mengangkat mayat kanak-kanak perempuan itu naik ke dalam kenderaan pacuan empat ronda Toyota Hilux, sebelum dibawa ke hospital," katanya.

Mayat kanak-kanak perempuan yang juga mangsa ke-25 kejadian tanah runtuh ditemui di bawah runtuhan tanah sedalam 17 meter di Sektor C (Riverside).

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor dilaporkan berkata, mangsa ditemui pada pukul 10.49 malam di sebalik batu besar selepas tanah runtuh berkenaan dikorek menggunakan jengkaut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 11:29 PM