Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah pada sidang media mengenai perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat mangsa di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, hari ini. FOTO BERNAMA
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah pada sidang media mengenai perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat mangsa di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, hari ini. FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Hulu Selangor: Seramai 42 mangsa tanah runtuh membabitkan 25 dewasa dan 17 kanak-kanak ditemui di Sektor A (Hill View) ketika kejadian tanah runtuh berlaku di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali di sini, sekitar jam 2.42 pagi, Jumaat lalu.

Berdasarkan maklumat dikongsikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), jumlah keseluruhan kanak-kanak di lokasi tapak perkhemahan itu adalah seramai 29 kanak-kanak

Daripada keseluruhan 94 mangsa yang terbabit dalam insiden itu, 65 adalah mangsa dewasa dan baki 29 mangsa adalah kanak-kanak.

Bagaimanapun, tiada pecahan umur dan jantina dikongsikan jabatan berkenaan.

Menurut maklumat itu, di Sektor B (Farm View), terdapat 12 mangsa membabitkan sembilan dewasa dan tiga kanak-kanak, manakala di Sektor C (River Side) terdapat 26 mangsa (17 dewasa dan sembilan kanak-kanak).

Di Sektor D (Green House) pula terdapat 14 mangsa dewasa terdiri daripada pekerja sebuah ladang dan semua mangsa yang terbabit di sektor ini ditemui selamat.

Dalam pada itu, JBPM memaklumkan daripada 24 mangsa yang meninggal dunia, sebanyak 21 mayat ditemui dalam kawasan Sektor A dan B manakala tiga mayat termasuk mayat pasangan ibu dan anak perempuan berusia kira-kira tiga tahun ditemui di Sektor C.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kelima semalam, menumpukan usaha pencarian sembilan lagi mangsa yang belum ditemui dan setakat ini tiada maklumat identiti atau jantina serta umur mangsa dikongsikan oleh pihak berkuasa.

Pada hari pertama kejadian, sebanyak 21 mayat mangsa ditemui manakala tiga lagi mayat mangsa ditemui pada hari kedua operasi SAR dijalankan.

Bagaimanapun operasi SAR pada hari ketiga dan keempat, kelmarin gagal menemui mangsa baharu sebelum operasi itu disambung pada hari kelima tadi.

Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat lalu itu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dan daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan sembilan masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 4:40 PM