Nor Fazlina Abdul Rahim


Rantau Panjang: Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa kira-kira satu jam untuk melawat mangsa banjir di Kelantan.

Perdana Menteri yang tiba jam 10 pagi dengan helikopter mendengar taklimat banjir yang disampaikan oleh Ketua Jajahan Pasir Mas, Nik Noor Mohamed Nik Ishak di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi yang turut dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kira-kira 30 minit.

Pada lawatan berkenaan, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada 154 mangsa banjir membabitkan 59 keluarga yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Perdana Menteri turut bergambar dengan pasukan barisan hadapan yang bertugas di PPS berkenaan.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Perdana Menteri kemudiannya berlepas jam 11 pagi untuk melawat mangsa banjir di Kemaman, Terengganu.

Untuk rekod, sehingga jam 9 pagi ini, seramai 1,065 mangsa banjir dipindahkan di 14 PPS membabitkan 389 keluarga.

Semua mangsa banjir berkenaan membabitkan dua daerah iaitu Pasir Mas dan Tanah Merah.

TAN Sri Muhyiddin Yassin berbual dengan sebahagian petugas di Pusat Kesihatan Rantau Panjang sementara ketika hadir  melawat mangsa banjir di PPS di SK Gual Tinggi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAN Sri Muhyiddin Yassin berbual dengan sebahagian petugas di Pusat Kesihatan Rantau Panjang sementara ketika hadir melawat mangsa banjir di PPS di SK Gual Tinggi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 11:53 AM