MOHAMAD Hashim menunjukkan antara minyak masak yang dirampas. FOTO Hazsyah Abd Rahman
MOHAMAD Hashim menunjukkan antara minyak masak yang dirampas. FOTO Hazsyah Abd Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Beli dengan harga subsidi, jual semula dengan harga tiga kali ganda lebih tinggi. Demikian kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi yang dipatahkan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sandakan, Khamis lalu.

Dalam serbuan ke atas sebuah stor di Batu 15, Sandakan kira-kira jam 2.30 petang itu, seorang lelaki turut ditahan bersama 1.7 tan minyak masak bersubsidi dianggarkan bernilai RM20,000.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sandakan, Mohamad Hashim berkata, lelaki berusia 45 tahun itu disyaki membeli minyak masak bersubsidi dengan harga RM2.50 dan melakukan penjenamaan semula.

Menurutnya, minyak masak itu diisi ke dalam botol sebelum dijual ke pasaran dengan harga industri iaitu RM7.90 sekilogram.

"Ketika serbuan dijalankan beberapa individu sedang sibuk memunggah barang dari sebuah lori.

"Pemeriksaan kemudiannya mendapati, terdapat minyak masak bersubsidi dalam plastik sebanyak 1,700 kilogram disyaki untuk diseleweng.

"Ia dipercayai untuk dibotolkan semula lalu dijual dengan harga tiga kali ganda lebih tinggi dari harga subsidi," katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, lelaki yang ditahan itu mengaku menjalankan kegiatan itu dan adalah pemilik premis berkenaan dan dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak enam bulan lalu.

"Semua barangan bernilai RM20,000 termasuk sebuah lori dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 2:19 PM