MUHAMMAD Amirul  mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. FOTO FAIZ ANUAR
MUHAMMAD Amirul mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. FOTO FAIZ ANUAR
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Muhammad Amirul Abdullah, 27, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Tertuduh diarah menjalani hukuman penjara berkenaan dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 14 Oktober lalu.

Muhammad Amirul yang juga bapa kepada dua anak itu didakwa merogol kanak-kanak itu di Puchong Permai pada jam 9.30 malam pada 29 Julai 2021.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Muhammad Amirul yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum dikenakan terhadapnya dengan alasan dia sudah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Katanya, dia adalah penanggung tunggal keluarga yang mana bapanya meninggal pada Ogos lalu dan kini dia menjaga ibu yang uzur, isteri dan dua anak yang masih kecil serta tiga adik yang masih bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berikutan perbuatan rogol dipandang jijik dan hina oleh masyarakat.

"Lagi hina ia dilakukan terhadap mangsa iaitu kanak-kanak perempuan yang masih kecil, naif dan lemah.

"Mahkamah juga dipohon untuk mengambil kira hasrat kerajaan untuk melindungi kanak-kanak terutamanya dari jenayah seksual. Ini hanya dapat dizahirkan mahkamah menerusi hukuman berat dan pemenjaraan yang panjang supaya tertuduh insaf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 5:08 PM