Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Seorang pelajar tingkatan empat didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dalam sebuah bilik di pusat tahfiz yang sudah tidak beroperasi, Jun tahun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala remaja berkenaan diwakili peguam, Nik Mohd Nashriq Mohd Nazman.

Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan yang berusia 15 tahun ketika kejadian didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun empat bulan di sebuah bilik di pusat tahfiz yang sudah tidak beroperasi di Pasir Tumbuh jam 3.30 pagi pada 12 Jun tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, remaja berkenaan masih di bawah umur dan hukuman tertakluk mengikut Seksyen 91 Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, Muhammad Shahril mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, Nik Mohd Nashriq memohon jaminan yang minimum kerana anak guamnya masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan tarikh 25 Februari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 3:40 PM