Nazdy Harun


Kuala Berang: Walaupun banjir belum pulih sepenuhnya, sebahagian penduduk Kampung Kua di sini, mengambil langkah awal dengan membersihkan rumah bagi mengelak lumpur 'melekat'.

Penduduk, Hakimi Bakri, 29, berkata, ketika air masih bergenang lebih mudah untuk mencuci lantai rumah yang dipenuhi lumpur.

"Kalau tunggu kering sepenuhnya memang sukar untuk dibersihkan lumpur yang melekat pada lantai dan dinding.

"Justeru, saya mengambil peluang ketika air mulai surut ini untuk membersihkan rumah dan barangan yang ditenggelami banjir sedalam dua meter sebelum ini," katanya ketika ditemui.

Hakimi bersama keluarga bermalam di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Kampung Kua selama tiga hari, sebelum pulang untuk membersihkan rumah.

"Jika air melimpah lagi, kami akan kembali semula ke PPS untuk berlindung," katanya yang memberitahu banjir kali ini lebih sukar memandangkan isterinya, Nazatul Azuati Mohd Ramli, 30, baru melahirkan anak kedua dan terpaksa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) serta berpantang di sana untuk sementara waktu.

Menurutnya, dia menghantar isterinya ke hospital ketika banjir mula melanda dan kembali ke rumah semula untuk membantu ahli keluarga yang lain.

Jirannya, Zainun Mansor, 57, juga memanfaatkan ruang dan keadaan semasa banjir yang mulai surut di kawasan itu untuk membersihkan rumah.

"Anak-anak datang membantu membersihkan lumpur dan banyak barangan yang rosak terutama perabot dan barangan elektrik.

"Tahun ini, dua kali rumah saya ditenggelami banjir, yang pertama Februari lalu yang menenggelamkan rumah selama dua meter," katanya.

Penduduk mengambil kesempatan membersihkan rumah yang ditenggelami banjir. FOTO NAZDY HARUN
Penduduk mengambil kesempatan membersihkan rumah yang ditenggelami banjir. FOTO NAZDY HARUN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 4:27 PM